Saturday, September 22, 2007

Kalimah 'Allah' dilantai surau

Thursday, 20 September 2007

KULIM:   Surau An Najihin di Taman Tiram, Lunas, dekat sini, kini menjadi tumpuan orang ramai dan penduduk sekitar untuk menyaksikan tertimbulnya tulisan jawi yang membentuk kalimah "Allah" di beberapa tapak jubin lantai anjung hadapan surau itu sejak pagi Isnin lepas.

Menurut penduduk di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah berkata, kejadian aneh dan pelik bermula apabila berpuluh-puluh keping jubin retak dan lekang dari lantai selepas solat subuh dan kemudiannya timbul kalimah "Allah" di lantai.

Seorang lagi penduduk Abdul Rahman Ahmad,48, berkata beliau adalah antara anggota jemaah yang menyedari kejadian itu dan pada mulanya beliau beranggapan jubin itu pecah kerana telah reput.

"Saya pun cuba menyelak beberapa jubin tersebut berada dalam kedaan baik dan tidak rosak," kata Abdul Rahman seorang kakitangan Pejabat Tanah Daerah Seberang Perai, di Kepala Batas.

Pengerusi surau berkenaan Omar Zakaria, 63, memberitahu surau tersebut telah dibina sejak 1999 lalu dan pada mula beliau beranggapan kejadian jubin lekang dari lantai simen kerana pembinaannya telah hampir lapan tahun.

"Tetapi selepas beberapa orang anggota jemaah yang masih belum pulang cuba menyelak-nyelak dan memeriksa jubin-jubin berkenaan mereka mendapati kejadian pelik apabila menjumpai tulisan berupa huruf jawi yang membentuk kalimah 'Allah' di beberapa tapak jubin berkenaan", kata beliau ketika temui di rumahnya di sini.

Beliau berkata jawatankuasa surau itu bagaimanapun mahu menutup semula lantai berkenaan bagi menampung jemaah semasa solat Hari Raya Aidilfitri pada bulan depan.

Katanya beliau akan mendapatkan nasihat Jabatan Agama Islam Daerah Kulim mengenai tulisan yang membentuk kalimah itu sebelum kerja-kerja pemasangan semula jubin dijalankan.

Tinjauan Bernama mendapati bangunan surau An Najihin itu telah menarik berpuluh-puluh orang untuk melihat sendiri kejadian berkenaan.Bernama

 

No comments: